FOR STORY TREE & GUIDE PLEASE CLICK HERE

Taman Danau Permai tidak sebingit mana apabila dipenuhi bacaan Yaasin dari seorang Imam yang kelihatan tersengguk-sengguk mengantuk, duduk bersila di ruang tamu. Tidak pernah tercapai dek akal aku, untuk melihat sebuah majlis tahlil yang begitu lengang dan dihadiri hanya beberapa orang sahaja dari ahli jemaah surau.

Ibu kelihatan sugul, putih merah seluruh wajahnya, bengkak sekeliling matanya menangisi anak yang disayanginya terbalut rapat dengan kain kapan putih bersih. Aku?…aku agak terkilan dengan sambutan pemergian ku ke alam barzakh ini. Seolah-olah, semua yang hidup membenci ku. Apa? Oops…lupa, Ya…betul…jasad akulah yang terbaring kaku itu. Aku..Aku hanya dapat memandang sedikit dari atas, melihat sambutan lemau, sunyi! Sungguh aku tak sangka, begini majlis tahlil untuk aku, majlis terakhir ku.

Apakah dosa aku? Apakah tiada siapa yang menyukai diri ini? Eh ada orang datang…Leon? Ahhh…sayang juga dia kat aku. Tapi…dia datang dengan siapa tu?? Cis! Arini Nasi lemak! Aku benci kau orang berdua. Mana Azhar ni??… 

‘Huh? Ah?…arrhh…siapa kau??! Nanti dulu…jangan bawa aku pergi dulu, NANTI! tolong! tolong!…TAKUT!!!’ 

“Auntie…bersabarlah. Biarlah Zulaikha pergi dengan tenang.”

Dengan teresak-esak Auntie Sara menjawab, “Kau berdua bukan ada anak, auntie yang kehilangan anak, sedih… malu lagi! Arini tahu tak, Zulaikha ditemui tanpa seurat benang pun di badannya?!! Menggantungkan dirinya di tadika kami pulak tuhh. Mana auntie nak letak muka nih?? Apa akan jadi pada auntie dan sekolah itu nanti?! MALU!!!”

“Tapi…tak mungkin Zulaikha membunuh diri auntie. Bertahun-tahun saya mengenali dia. Auntie sendiri tahu dia bekas kekasih saya kan…”

“Betul Leon, tapi siapa yang nak percaya kita??” Leon tertunduk diam, rambutnya yang panjang ke bahu, mulai rebah menutupi pipinya yang sedikit cengkung mengikut rahangnya dengan reaksi wajah sugulnya yang memahami perasaan Pengetua Tadika Aulad itu. Tiba-tiba… 

“Assalamualaikum!” satu suara besar terdengar memberi salam dari luar. Arini bergegas menjenguk…

“Waalaikumsalam…Eh, Abang Azhar? Masuklah bang…” sahut Arini, lembut, menggantikan tempat auntie Sara sebagai tuan rumah. Dengan wajah berkulit seperti anak kecil, Azhar kelihatan sangat tampan apabila memberi senyuman kepada gadis yang sudah lama digilainya itu. Namun sedikit kesedihan atas kematian Zulaikha langsung tidak terpamer di iras wajahnya.

“Ar..arini ada kat sini…emm”

“Ya bang, auntie kan tak ada sesiapa lagi…”

“Ohh ya lah…emm so, Arini…”

“Saya Nadra!”  Tegur seorang gadis tinggi dan cantik, yang tiba-tiba muncul dari belakang Azhar dengan sedikit senyuman manis.

“Oops…lupa, Arini ini Nadra, Pr Manager Office abang”

Leon menyelak sedikit rambutnya menyerlahkan mata kuyunya dan mulai menegur dari belakang dengan nada suaranya yang berbunyi dalam, “…ada juga masa kau datang sini Azhar?”

Jom bikin e-cerpen : sambung di sini...

New Logo