Ibu, I love you!

Apabila ibuku yang tidak pernah menyentuh wajah ini, tiba-tiba menjamah dan mengusap-usap mukaku, aku seolah-olah dapat merasa itulah saat-saat akhir aku bersamanya. Apatah lagi apabila beliau berkata dalam longlai,

  • “Pandanglah wajah ibu sepuas-puas hati, ibu sudah nak pergi…”

Kakakku yang sedari tadi, tegal berdiri…rebah, sebak dan menangis teresak-esak… dan aku, ya… air mata jantan ku juga turut tumpah…  Tak dapat aku menerima, ibu yang dulu sangat aktif, orang tinggi dalam kerajaan, disukai ramai wanita, dipuja ramai lelaki kini terbaring lumpuh sebelah tubuh, lebih 5 tahun. Tahun ini, umurnya sudah menjangkau 79 tahun, namun ibu begitu cekal, bertahan…

Kenangan bersamanya, masih jelas terbayang… kerana aku dan dia tidak pernah sehaluan. Mungkin kerana aku anak bongsu, lalu aku dimanjakan sewaktu kecil dulu. Pabila besar, segala apa sahaja yang  ingin ku lakukan, semuanya mendapat tentangan darinya.

Dari cara berpakaian, hinggalah pilihan karier, semua tidak disukainya. Aku… seperti biasalah, nak buat juga apa yang aku nak buat! Penuh di tanganku gelang-gelang perak, jari pakai cincin tengkorak, tengkuk dengan rantai emas… rock star lah katakan.

Namun…jauh disudut hati aku… walau aku suka melawan dan tidak mendengar larangannya, aku sayang ibuku lebih dari segala-galanya!

Tiada gadis atau wanita mana pun yang boleh menukarkan kasih aku pada ibu. Dialah segala-galanya buatku. Dialah juga yang mendorong aku untuk menjadi seorang penulis… malah dia cukup bangga dengan kejayaan aku sebagai penulis.  Kalian semua pun tahu aku selalu berkongsi pesanan-pesanan dari ibu kepada ku tentang cinta… kerana dialah tempat aku meluahkan segala kekecewaan dan kesedihan… kata-katanya akan buat aku bangkit gagah dan tabah…She’s the best! Ibu… kau begitu bermakna buat ku.

Dan kini, melihat dia sebegini, di saat-saat akhirnya… aku seolah-olah kehilangan arah… aku mahu menerima pemergiannya, tetapi di manakah tempat aku kembali nanti? Tempat dimana aku tahu walau aku salah, aku tetap akan merasa tenang?…tempat aku melepaskan kekecewaan?

Nafasnya begitu perlahan kini… kadang terhenti seolah-olah dia sudah pergi… kemudian bernafas semula. Matanya sekejap buka, sekejap rapat tutupnya seolah-olah dia sudah tiada. Perit aku rasa berada di depannya. Beginikah suasananya apabila seseorang sampai ke penghujung nyawa?

Aku kelemahan, lemah dalam jiwa yang tidak mahu kehilangan ibuku… aku tahu, aku kena terima takdir dari Allah s.w.t …tetapi, sememangnya lebih senang berkata-kata, daripada aku yang merasa berdepan dengan orang yang tersayang bakal pergi mengadap Tuhan yang Maha Esa.

Walau apa pun yang akan terjadi nanti… buat masa ini, aku bermohon agar ibuku tenang dan mudah perginya nanti… Sebelum aku keluar untuk ke pejabat, sempat dia berkata,

  • “Tak sempat dah rasanya nak berjumpa dengan anak-anak yang lain… dah nampak dah tuuu… tengah duk tunggu dah tu…”

– seram aku dibuatnya, apa atau siapa yang sedang menunggunya? Malaikat maut? Aku pun tak tahu… kesemua kata-kata dari ibu hari ini amat berlainan sekali dan tidak pernah diucapkan sebelum ini.

Ya Allah, jika inilah saat nafas terakhir ibuku, jika ajalnya sudah sampai, ku pohon padamu, tenangkanlah pemergiaannya, selamatkanlah dia dari seksa kubur,  berilah segala-gala kemudahan buatnya… ibu sudah terlalu lama menderita di dunia ini Ya Allah… tempatkanlah dia bersama-sama orang-orang berimam, InsyaAllah…

Bagi kawan-kawan semua… Razzi juga turut memohon agar kita semua dapat mendoakan HAJJAH RAFEAH MD NOOR selamat, diberkati dan tenang dalam perjalanannya menemui penciptanya nanti, AMIN.

“Ibu, G…sayang ibu sangat-sangat… G akan ingat ibu sampai bila-bila, Ibu… you’re the best, Ibu, I love you!”

Love,
Razzi Rahman @ Brother Love
www.razzirahman.com

Share this article at your facebook…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending Posts

Edit Template

© 2023 Created with Royal Elementor Addons