Harian Metro 18 Jun 2010
Oleh – Esme Johari Wahab
“SAYA tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi. Duet bersama Razzi dan Irfan bertujuan menyampaikan mesej kemanusiaan mengenai nasib menimpa kanak-kanak didera, ditinggalkan ibu-bapa dan kes buang bayi,” kata Tuah.
Walaupun bukan penyanyi atau pernah menyertai program realiti TV, Tuah atau Tuah Zoqarnain Idris, ingin mencuba nasib melalui paduan suara pula bersama Razzi Rahman dan Irfan Khairi lalu membentuk kumpulan baru dikenali Pagi Band.
Dengan single bertajuk Jeritan menjadi taruhan, trio itu yakin ia mendapat sambutan pendengar dan peminat tidak lama lagi. Lagu serta klip video Jeritan kini sudah boleh ditonton menerusi YouTube serta laman web sosial paling popular, facebook (fb) http://www.facebook.com/fb
Tuah, deejay kacak radio segmen 8-11 malam di Suria FM menyertai mereka bulan lalu. Dengan identiti suara rock, Razzi, penulis lirik dan penulis buku cinta dikenali Brother Love, adalah finalis Anugerah Juara Lagu 1992. Dulu Razzi pernah merakamkan album dan popular dengan lagu Rembulan Kesiangan. Irfan seorang ahli perniagaan Internet dan penulis buku motivasi adalah gitaris kumpulan itu.
Kata Tuah, idea menghasilkan single menjadi realiti sejak Razzi dan Irfan melihatnya menyanyi lagu Datuk Shake, Kau Bungaku dan Hasnol, Lagu Untukmu dalam video muzik fb, April lalu.
“Sewaktu mengikuti kursus perniagaan melalui Internet yang dikendalikan Irfan, baru-baru ini, kami akhirnya berbincang mengenai projek ini. “Untuk memberi kesan lebih mendalam, kami menyertakan klip video. Saya harap pendengar memberi sokongan terhadap paduan suara kami itu. “Kalau ada rezeki dan mendapat sambutan baik, saya bercadang menyanyi lebih banyak lagu untuk album penuh Pagi Band. Setakat ini, masih dalam perbincangan,” kata Tuah, 34, dalam satu wawancara di pejabat Harian Metro, di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.
Beberapa bulan lalu, Razzi dan Irfan pernah menghasilkan album bertajuk Razzi Rahman dan Irfan Khairi memuatkan tiga lagu iaitu Kerana, Misteri dan Akustik Sepi. Klik untuk mendengar KERANA
Irfan berkata, mesej Jeritan mengenai gejala buang bayi dan penderaan kanak-kanak jarang diberi perhatian masyarakat berikutan kesibukan manusia mengejar kebendaan.
“Kami merasa terpanggil mencipta lagu khusus menyatakan rasa sedih terhadap sikap pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab bertindak luar batasan membuang bayi hasil keganasan orang dewasa. “Penderitaan kanak-kanak perlu dipapar lebih kerap. Jadi single disertakan dengan video klip mengukuhkan lagi penyampaian mengingatkan orang ramai dan golongan muda supaya tidak melakukan kerja yang salah di sisi agama,” katanya.
Kata Razzi, penyertaan Tuah dalam Pagi Band menguatkan range paduan vokal. “Kalau dulu kami berdua, sekarang bertiga, bermakna lebih baik, lebih banyak idea. Suara Tuah serak basah memberi impak lebih baik terhadap nyanyian dalam Jeritan.”
“Pemilihan nama Pagi Band menggambarkan satu perasaan segar dan baru setiap hari. Paling penting memberi gambaran positif. “Apa kami lakukan dengan tujuan baik supaya masyarakat menilai, prihatin dan menyayangi kanak-kanak,”
Pada masa sama, Razzi menafikan dia ‘menggunakan’ Tuah untuk memudahkan lagu mereka diputarkan di stesen radio tempatnya bertugas.
Kata Razzi: “Tidak timbul sama sekali. Kami mahu buat lagu tanpa sebarang unsur ada udang sebalik batu dan kami tidak menggunakan Tuah bagi memudahkan Jeritan kerap diputarkan di radio. Lagipun ini bukan pertama kali deejay radio menyanyi.
“Setiap stesen radio ada polisi mereka, terpulang kepada mereka. Buat masa ini, kami menggunakan YouTube dan fb untuk menyampaikannya.”
PERINGATAN : Bagi mereka yang berminat untuk mengikuti perkembangan Pagi Band serta mendengar lagu single terbaru JERITAN, boleh melayari laman facebook, klik di www.facebook.com/pagifb
2 Comments
Tahniah bro!!! wahhh ada Pagi Band pulak ya congrats!
Suria – Terimakasih di atas sokongan Suria. Razzi amat hargai!